HTML Content

Thumbnails allows any HTML content

Customizable

Thumbnail style is customizable

Variety of Layouts

Just a CSS tweak.

Integration

Built-in functions for the thumbnails

Friday, April 22, 2011

Ringkasan Khutbah (19 Jamadil Awwal 1432 / 22 April 2011)

Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan kepada Al-Khaliq Yang Maha Genius kerna masih diberikan nafas iman, Islam dan taqwa. Sedikit ringkasan tentang Khutbah Jumaat 19 Jamadil Awwal 1432 bersamaan 22 April 2011 di Surau Annur Bandar Baru Bangi yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Idris Ahmad berkaitan dengan '5 Alasan Kaum Quraisy Menolak Dakwah Rasulullah S.A.W'. Ustaz Idris Ahmad telah memperincikan tentang alasan-alasan kaum Quraisy yang menolak seruan Islam meskipun menyedari tentang kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi S.A.W. Namun, disebabkan kepentingan-kepentingan peribadi dan takut kehilangan pangkat dan kuasa, kebenaran yang datang di depan mata ditolak ke tepi. Antara 5 alasan mereka ialah:

1) Takut kehilangan pangkat dan kuasa

Mereka begitu mementingkan pangkat dan kuasa serta pengaruh yang mereka ada untuk mengumpul harta kekayaan. Kebimbangan kaum Quraisy untuk menerima seruan dakwah Rasulullah S.A.W disebabkan mereka risau pangkat serta kuasa yang mereka miliki akan terlepas dari tangan mereka.

2) Tiada peraturan kasta dalam Islam

Menjadi amalan serta sifat kaum jahiliyyah yang membezakan darjat serta keturunan. Mereka menganggap, orang miskin tidak layak untuk bersama-sama orang kaya. Orang miskin dipandang hina Mereka yang kaya menjadi bertambah kaya, manakala yang miskin terus dengan kemiskinan. Mereka tidak dapat menerima Islam disebabkan ajaran Islam yang tidak melihat kepada pangkat, keturunan dan harta malah, Islam mengiktiraf kemuliaan seseorang itu berdasarkan ketaqwaannya kepada Allah. Sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:


"Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu mengenali antara satu sama lain. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali."

Ada suatu ketika, kaum Quraisy ini meletakkan syarat untuk mereka menerima Islam, pengajian agama bagi mereka yang kaya harus diasingkan daripada yang miskin. Syarat mereka ini tidak diterima oleh Rasulullah S.A.W kerana kemuliaan seseorang mengikut pandangan Islam adalah pada dasar ketaqwaannya kepada Allah S.W.T bukan atas dasar keturunan, pangkat dan harta.

3) Terlalu berpegang pada ajaran nenek moyang

Meskipun ramai diantara kafir Quraisy mengakui akan kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah, mereka tidak dapat menerimanya kerana ajaran yang dibawa oleh Rasulullah ini bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh nenek moyang mereka. Kerana ketaksuban mempertahankan adat serta budaya meskipun ia jelas menyanggahi fitrah ketuhanan, mereka tetap dengan pendirian mempertahankan adat nenek moyang dan sanggup mengetepikan kebenaran Islam. 

4) Risaukan kerugian dalam industri perniagaan patung

Industri pembuatan patung berhala merupakan suatu perniagaan yang begitu menguntung pada zaman masyarakat jahiliyyah. Ini menjadi sumber perniagaan utama mereka pada ketika itu. Sinar Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W yang mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan menafikan sebarang unsur-unsur syirik dalam agama seperti penyembahan patung berhala menyebabkan kaum Quraisy merasakan hal ini sebagai satu ancaman yang boleh menjejaskan pendapatan mereka. Ustaz Idris Ahmad mengaitkan hal ini dengan situasi semasa dimana, terdapat umat Islam pada hari ini sanggup mengetepikan hukum agama demi meraih keuntungan. Industri judi dan arak sebagai contoh, meskipun umum sudah diketahui hukumnya, namun disebabkan ketamakkan kepada harta dunia, umat Islam sendiri sanggup melanggar batas syariat serta mencipta seribu satu alasan untuk menghalalkannya. 

5) Takut berbicara soal kematian dan hari pembalasan

Ajaran Islam yang Nabi S.A.W bawa sering memperingatkan manusia tentang suatu hari yang akan menghisab seluruh amalan manusia ketika di dunia. Rasulullah juga selalu berpesan kepada para sahabat supaya memperbanyakkan mengingati mati. Kaum Quraisy yang begitu mencintai dunia merasa tidak senang untuk berbicara tentang soal kematian. Mereka menganggap, mengingati kematian akan membawa masyarakat ke arah kemunduran. Namun apa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W adalah sebaliknya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W: 

"Apabila esok kiamat terjadi, sementara di tanganmu ada benih pohon, maka jika mampu menanamnya sebelum kiamat terjadi, tanamlah!” (H.R. Ahmad)
  
Hal ini jelas menunjukkan bahawa, walaupun umat Islam diingatkan supaya sentiasa mengingati kematian, bukan bermakna segala urusan dunia dilepaskan. Malah urusan dunia ini menjadi jambatan untuk kita mengumpul bekalan untuk dibawa ke akhirat. Segala pekerjaan, segala amalan yang kita lakukan mestilah disandarkan atas tujuan akhirat kerana itulah destinasi kita yang abadi.

Ustaz Idris Ahmad juga mengaitkan hal ini dengan situasi pada hari ini di mana ramai orang tidak suka untuk berbicara soal akhirat, tentang kematian dan berkaitan soal syurga dan neraka. Mereka merasa takut untuk bercakap soal kematian dan takut untuk berhadapan dengan kematian walhal kematian itu adalah suatu kepastian. Disebabkan kecintaan kepada dunia, bicara soal kematian, dosa pahala, syurga dan neraka menjadi suatu ancaman yang boleh merenggut kebahagiaan mereka di dunia.

Dalam khutbah yang kedua, Ustaz Idris mengingatkan para jemaah supaya sentiasa berpegang kepada Islam secara menyeluruh dan menyeru pada jemaah untuk melihat Islam dari perspektif yang lebih luas. Bukan sekadar soal kematian, sembahyang, dan puasa sahaja, tetapi mengambil Islam sebagai Ad-Din dan cara hidup.

Sang Musafir: Daripada perkongsian yang sedikit ini, diharapkan pembaca mendapat manfaat yang baik untuk terus memantapkan diri serta membetulkan segala apa yang bengkok untuk memastikan Islam kembali dijulang.

0 comments:

Post a Comment