HTML Content

Thumbnails allows any HTML content

Customizable

Thumbnail style is customizable

Variety of Layouts

Just a CSS tweak.

Integration

Built-in functions for the thumbnails

Thursday, August 22, 2013

Seorang Sahabat




Masih segar diingatan ku,
Tatkala bersama mu,
Ku rasa penuh keriangan,
Di sisi seorang sahabat,

Di sini ku terus berdiri,
Meniti titian ini,
Mencari ketenangan hati,
Moga tak dibuai mimpi,

Tapi kini kau tiada di sisi,
Untuk menemani aku di sini,
Segala dugaan melanda,
Ku tempuhi seorang,

Walau kau jauh dari sisi ku,
Ku kan tetap kenang selalu,
Ku harap tak terlena,
Diri ku dari ingatan mu,

Walau berjauhan kita tetap bersama,
Walau dari mata, hati tak akan lupa,
Tulus murni hati mu,
Duhai sahabat...
Ku tetap kenang tika bersama.

Tuesday, August 20, 2013

Mutiara Tersembunyi



Di sebalik hamparan pasir hitam itu, ada sebutir mutiara yang tersembunyi.

Merenung jauh mencari hikmah atas apa yang telah terjadi. Andainya aku sekadar melihat hamparan pasir hitam itu, pastinya akan aku sesali takdir Ilahi sedangkan di situ ada sebutir mutiara sedang menanti untuk digali.

Merenung jauh, sirna kilauan itu tampak kian cerah disimbah nur dari Ilahi membuatkan aku gagah kembali untuk berdiri. Tidak sesekali akan aku sesali takdir Ilahi, kerana aku yakin dan pasti, Allah sedang menguji.

Allahurabbi...beratnya ujian mu ini. Namun aku tetap berjanji, lafaz syukur ku tetap ku ratib setiap hari kerana aku sedar akan nisbah nikmat terhadap ujian yang telah Kau beri ini umpama hamparan lautan mutiara yang terselindung disebaliknya sebutir debu hitam.

Jujur...Ya Allah, aku terasa berat. Insan lemah pasti terasa berat saat ujian Mu datang. Hakikatnya, aku masih lemah.

Ujian berat...bukankah makin tinggi tingkat iman, makin berat ujian? Berat itu adalah dari kacamata insan yang lemah, meski hakikat bagi manusia beriman yang ditimpa ujian itu, berat itu pasti tidak terasa.

Masih terasa berat?

Ya Allah...kami tidak memohon agar Engkau ringankan ujian buat kami, tapi, Kau kuatkanlah iman kami, agar tidak lagi kami terasa berat menanggung ujian Mu. Kerana kami yakin ujian ini mengangkat tingkat iman kami. Kerana kami ingin tergolong dalam kalangan hamba yang tinggi iman.

Kami ikhlas...inshaAllah kami ikhlas...Terima kasih Ya Allah.

3;139 (^_~)v

Friday, June 28, 2013

Ujian adalah Polish Iman

Glittering Diamonds are made under a very high Pressure. 


Ujian hidup yang Allah tetapkan ke atas hambanya tiada lain hanya untuk Menggilap Iman. Makin Kuat Ujian, makin berSinar kemilau Iman. 

Tidak gagah untuk Ujian?

Seorang guru, banyak memberi latih tubi kepada anak didiknya dengan tujuan mendidik mereka.

Makin banyak latih tubi diberi, makin pintar mereka jadi. Beri saja soalan, pasti mereka mampu selesaikan. Saat anak didiknya buntu, tidak menemui jawapan untuk menyelesaikan sesuatu persoalan, guru menjadi sandaran, gurulah yang menjadi tempat rujukan. Seorang guru tahu, apa yang anak didiknya perlu. Seorang guru juga tahu, ke mana harus anak didiknya tuju. Tapi yang akan jadi penentu, tetap samada anak murid itu mahu tahu, atau anak murid itu yang mahu terus buntu.

Hamba Tuhan, segala ujian, Allah yang tetapkan. Kadangkala, ujian itu mudah, kadangkala, ujian itu payah. Saat didatangkan kepayahan, tiada tempat lain selain kembali bersandar kepada Tuhan. Kepada Allah tempat kita merujuk, memohon diberikan petunjuk. Mohon diberi kekuatan, untuk menghadapi ujian dan kepayahan. Kerana Allah pasti ada penyelesaian kepada apa yang kita buntu. Kerana Allah tahu apa yang kita perlu. Tapi yang akan jadi penentu, tetap samada Hamba itu mahu tahu, atau Hamba itu yang mahu terus buntu.

Manusia tidak boleh lari daripada kenyataan, bahawa hidup kita berTuhan. Seorang Hamba, sangat bergantung harap kepada 'Tuan'. Kita ini dimiliki, bukan memiliki. Kembalilah kepada Pemilik.

Samada ingin terus jadi batu, atau bertukar menjadi berlian biru, kita yang tentu. Ingin menjadi berlian itu, sudah tentu ada liku.

SYURGA itu ekslusif bagi mereka yang lulus ujian.

Al-Ankabut: 2-3:"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar-benar Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta."

Friday, May 17, 2013

Kagum, Aku Ada Hidung.


Dulu, negara pernah gempar dengan penemuan pelepah pinang yang seiras wajah manusia. Subhanallah...kagum.

Pernah berlaku peristiwa sejadah sujud di sebuah surau...masyaAllah...hebat.


Pernah tersebar gambar pokok-pokok seolah sedang rukuk menghadap kiblat...Allahuakbar...hebatnya kebesaran Allah.



Kejap...kejap...!!!

Saat kita bangun pagi, sedarkah bahawa hidung kita masih mampu hirup udara, paru-paru masih mampu memproses oksigen, jantung masih gagah berfungsi elok mengepam darah ke seluruh urat nadi, mengalirkan oksigen ke seluruh badan. Pernahkah ungkapan-ungkapan yang sama dilafaz?

Sangat jarang kata-kata syukur itu terucap. Tak salah kagum dengan benda dan perkara-perkara 'ajaib'. Kerana ia memang kebesaran Allah. Tapi sangat banyak lagi perkara dan kejadian di depan mata yang Allah jadikan yang sepatutnya kita luahkan rasa kagum itu, tetapi tidak pun kita ucap. Betul ke?

Untuk memecahkan sebongkah batu yang keras, memerlukan satu daya hentaman yang deras. Adakah kerana kerasnya hati, kita memerlukan satu benda atau perkara atau peristiwa luar biasa berlaku di depan mata yang menghentam jiwa dengan rasa kagum, barulah lafaz syukur itu akan terucap?

Hebatnya Allah mereka bentuk lubang hidung manusia. Diciptakan lubang hidung itu ke bawah, tidak ke atas. Subhanallah. Ia suatu rekabentuk kejuruteraan yang maha hebat dari sudut fungsi dan nilai estatiknya.

Andai lubang hidung dicipta menghadap ke atas, masyaAllah...boleh kita bayangkan betapa buruknya wajah itu? Para pereka fesyen mungkin terpaksa mereka sejenis payung hidung yang sesuai bagi mengelakkan air masuk ketika hujan. Mungkin ia jadi sasaran cicak-cicak melepas. "Ku fikir itu tandas...", kata cicak.

Pernah tak kita renung betapa hebat ciptaan Allah yang ada pada tubuh badan kita? Amat jarang bukan?

Kadang-kadang terfikir, diakhir zaman, pelbagai fitnah akan muncul. Fitnah yang paling besar ialah fitnah Dajjal. Risau kepada para pengkagum-pengkagum peristiwa pelik dan ajaib ini mudah terpedaya dan keliru antara kebesaran Allah, dan fitnah Dajjal.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda S.A.W telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”


Hebat bukan? Bagaimana? Sekali lihat...Subhanallah...Tapi, sebenarnya ia adalah fitnah Dajjal. Rasulullah S.A.W telah ajar bagaimana cara menghindari fitnah Dajjal. 

Sekadar mencuit kesedaran hati. Syukur pada Allah bukan hanya terlafaz saat kita melihat kejadian-kejadian pelik, benda-benda ajaib, perkara-perkara yang bukan kebiasaan berlaku saja. Tapi lafazkanlah rasa syukur itu sentiasa. 

Mustahil bagi manusia biasa untuk ingat Allah, ucap syukur 24 jam 7 hari. Tiada langsung waktu di mana kita lupa ingat Allah. Wahh...kagum. Wali Allah pun belum tentu mampu buat. Mustahil. Hebat sangatkah kita? Kita bukan malaikat. Tapi, paling tidak jadikanlah lafaz syukur dan mengingati Allah itu sebagai amalan dengan harapan, ia menjadi kebiasaan.

ألا بذكر الله تطمئن القلوب
'Tidakkah hanya dengan berzikir/mengingati Allah hati kita akan menjadi Tenang'

Ingat Allah juga terapi ketenangan hati.

Sentiasa ingat Allah.





Monday, May 13, 2013

Harapan


Janji Adalah Harapan

5.30 pagi tadi aku terjaga. Hampir saja terlupa, pagi ni aku dah janji untuk jemput Yus di Putrajaya Sentral. Biasanya sekitar 5.30 pagi, bas dah masuk terminal. Mungkin sebab semalamnya terlewat masuk tidur, natijahnya, terjaga pun lambat. Sempat aku jeling handset di sebelah, tiada kelipan LED Notification maknanya Yus belum call. Tiada mesej yang masuk. Belum sampai kot. Awalnya dalam hati aku dah risau, semalam aku pesan pada Yus,

"Yus, bas masuk tol Kajang, boleh la call aku. Sempat aku prepare, mandi, warm-up kereta."

Tujuan aku supaya dapat timing masa, nanti, Yus tak perlu tunggu lama. Kesian. Barangnya banyak. Bawa bekal berniaga bagi menampung kos hidup di Shoubra. Sebab tu, aku fikir, bas selamat mendarat, aku terus sambut. Itu harapan yang telah aku berikan pada Yus. Syukur alhamdulillah, masih belum terlambat. Belum aku sia-siakan harapan Yus.

Aku bergegas bangun, turun mandi, terus solat subuh. Selesai solat, warm-up kereta, terus saja Yus call.

"Assalamualaikum akh, dah sampai. Maaf sangat sebab tadi terlelap sebelum masuk tol Kajang, sedar je dah sampai."

"Alhamdulillah. Orait, tunggu 10 minit aku sampai." ujar ku sekali lagi memberinya harapan padanya, sambil jari bergerak-gerak mencongak jarak dari rumah ke sana. Dalam hati terlintas, sempat ke 10 minit aku rushing sampai Putrajaya Sentral? Apa boleh buat, kata sudah terlepas ucap. Cuba sajalah. Mungkin itu yang risiko harus aku ambil bila memberi harapan tanpa berfikir panjang. Risiko mengguris hati sahabat andai janji itu dicapati.

Antara pro dan contra bila aku memberikan kata, "10 minit aku sampai."

Pro
Secara psychology, apabila aku memberikan limit waktu, Yus tidak ternanti-nanti. Sambil melihat jam, mengira waktu genap 10 minit, banyak perkara yang bisa Yus lakukan. Tidaklah sekadar tercegak menanti.

Contra
Namun, andai kata janji 10 minit itu gagal dipenuhi, memberi persepsi buruk tentang sikap aku sendiri. Sedikit menambah gelisah Yus menunggu. Situasi yang kurang selesa bagi sesetengah orang. Mungkin.

Alhamdulillah, keadaan di jalan tidak sesibuk yang disangka, kurang lebih 10 minit, sampai Putrajaya Sentral. Yus dah sedia menunggu. Dalam hati kesian, tapi, padan muka, siapa suruh tidur...haha

Apabila satu janji dimeterai, ia telah menjadi satu harapan. Besar atau kecil, ia tetap harapan. Setelah memberi janji, andai gagal dikota, harapan orang pasti kecewa. Ramai orang berjanji dalam keadaan fikirannya langsung tidak memikirkan keupayaannya untuk melaksanakan janji.

Harapan Masa

"Usin, jadi ke usrah esok? Pukul berapa?", WhatsApp notification naik. Mesej ringkas dari Azmi bertanya tentang liqa' usrah yang telah lama dirancang.

"Jadi laa. Konfem. Pukul 8.00 pagi, Masjid Telipot. Jangan lewat!!!", balas Usin.

"Set. Sebelum subuh aku sampai.", Ajak mencelah.

Sebelum subuh? Biar betul Ajak ni.

Memang konfem tak betul pun. Ungkapan sekadar gurauan kami adik beradik. Sinikalnya memang semua faham. Tapi, secara spontan, kata-katanya itu seolah dia telah memberi satu harapan bahawa, dia sangat bersemangat dan bersungguh untuk tepati waktu 8.00 pagi. Andai sebelum subuh dia datang, 8.00 pagi pastinya tiada masalah.

Seperkara lagi, bila disebut 8.00 pagi, tentatively, 8.00 pagi liqa' bermula. Bukan 8.00 pagi baru nak pakai tuala.

7.45 pagi, orang pertama tiba menunggang DAJ****. Terbaik. Liqa' bermula 8.00 pagi, tiba dalam 15 minit awal memang pencapaian yang agak cemerlang. Notification Whatsapp naik, mesej dari Udin memaklumkan dia sedikit lewat atas masalah teknikal.

7.59 pagi, 75% ahli usrah tiba, bakinya masih belum nampak muka. Termasuk Udin.

8.15 pagi, Udin tiba. Tinggal seorang lagi belum nampak muka. Agaknya mungkin dia sudah sampai sebelum subuh, dilihat masih belum ada sesiapa, sambung tidurlah.

"Mungkin dia duk di belakang tirai ruang solat muslimat kot." Udin menelah. Minat betul dia ni dengan muslimat. Nak tidur pun cari ruang muslimat.

Tapi bila diintai, tiada siapa pula. Mana dia? Jadi datang ke tak?

8.30 pagi, dalam keadaan tercungap-cungap, baru sampai dia. Mana janjinya sebelum subuh?

Dengan muka bermata kucingnya, permohonan maaf dipinta dengan pelbagai asbab musababnya. Sebelum subuh nak sampai katanya, 8.30 pagi baru nampak muka. Tanpa sebarang khabar berita, tanpa makluman awal darinya.

Mungkin nampak simple. Sekadar terlewat 30 minit. Tanpa khabar berita. Tapi ia cukup untuk membuat orang menilai diri kita. Andai masa sukar diurus sempurna, lalu janji dan harapan itu diberikan pula...

Paling tidak, khabarkan lebih awal. Kerana penantian dalam ketidaktentuan harapan itu menyeksakan.

Mungkin akibat ketakcanaan kita merendahkan mood dan moral sahabat lain yang sedia bersemangat berkongsi ilmu liqa' usrah.


Allah SWT berfirman: "(Bukan demikian), sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa." 

(Ali 'Imran : 76)

Menanti Dalam Ketidaktentuan Harapan

Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal dalam salah satu kuliah beliau, lebih kurang bunyinya,

"Dalam keadaan sekeliling dilanda banjir besar, kita terperangkap di atas bumbung rumah. Air kian naik. Tiada langsung jalan keluar. Nasib, telefon di tangan masih boleh digunakan. Lalu kita panggil untuk bantuan. Alhamdulillah, pasukan penyelamat berada di sekitar, kata mereka, lagi 30 minit kami sampai. Tunggu sehingga kami sampai. Syukur. Dalam masa 30 minit, kita akan selamat. Harapan telah diberi oleh pihak keselamatan. Satu kelegaan besar. Meskipun air makin meninggi, sampai ke pinggang sekalipun, kita pasti akan tunggu 30 minit.

Cuba bayangkan, saat kita buat panggilan, tiba-tiba...tup...tup...tup...talian terputus. Lagi sekali panggilan dibuat, tiba-tiba, bateri telefon pula habis. Boleh anda bayangkan bagaimana perasaan disaat itu? Menanti dalam ketidaktentuan. Harapan itu masih ada. Tapi tidak tahu bila. Mungkin datang, mungkin tidak. Jiwa tertekan, hati gelisah, resah, keluh kesah. Dalam desakan tekanan, belum sampai 15 minit, mungkin hadir rasa putus asa, melihat air sudah cecah buku lali, harapan makin sempit, lalu putus, mungkin menyebabkan kita terjun dalam air banjir, berusaha menyelamatkan diri, belum sempat pasukan penyelamat datang. Akhirnya, dihanyut arus."


Pentingnya Garis Masa Dalam Memberi Harap

Ibrah dari kisah Nabi Yusuf ('Alaihissalam) sudah cukup menggambarkan betapa deritanya menunggu dan mengharap sesuatu yang kita tidak pasti dan tahu bila ia akan berlaku. Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti, merupakan satu bentuk penderaan spiritual. Tatkala dikurung di penjara (terma dikurung mungkin lebih sesuai dalam konteks Nabi Yusuf kerana baginda bukanlah pesalah yang harus dipenjara, tetapi dikurung semata menutup aib pemerintah zalim.), tiada langsung perkhabaran bilakah baginda akan dibebaskan, adakah baginda akan dibebaskan? Atau terus meringkuk dalam kurungan sepanjang hayat? Tiada pertuduhan, tiada perbicaraan. Namun harapan untuk bebas tetap masih ada. Tapi bila? Entah...

Spiritual Nabi Yusuf didera oleh ketidaktentuan harapan itu. Namun, dengan meletak pengharapan dan thiqah pada qada' dan qadar Allah S.W.T menjadi terapi kepada kegelisahan jiwa baginda.

Andai manusia lain ditempat baginda, mungkin ada yang sanggup membunuh diri sebagai solusi mudah bagi menamatkan penderaan spiritual itu.

Pastinya ia jauh lebih derita berbanding banduan lain yang mungkin dipenjara 10 tahun, 20 tahun, mungkin 50 tahun.

...bersambung...








Friday, May 10, 2013

Kekayaan Hati


Album : Halawatul Iman
Munsyid : Far East

Bahgialah yang miliki kekayaan hati budi,
Kerna Allah bersamamu wahai para muttaqin,
Bahgialah yang miliki kekayaan hati budi,
Kerna Allah bersamamu wahai para mukhlisin.

Miliki hati pemurah,
Yang mampu menahan marah,
Memberi maaf dengan mudahnya mudahnya,
Miliki hati pengasih,
Walau diri kan tersisih,
Memberi kasih tanpa memilih memilih.

(Chorus)
Hati itu bagai ladang,
Tempat bercucuk tanam,
Hati itu bagai kolam,
Tenang nyamannya......

Ulang Rangkap 1,2&Chorus

Cari kekayaannya,
Dalam uzlah yang lama,
Dimalam yang sempurna,
Bermunajat pada-Nya
(Ulang)

Ulang Chorus,1&2

Pengabdian yang hakiki,
Lewat zikir amali,
Dibasahi disirami,
Dengan Rahmat Ilahi.
_________________________________________________________________________________

Thursday, May 2, 2013

Tiada Daya? Allah Bersama Kita



Saat tentera bergajah ingin menyerang Kaabah, datuk Rasulullah S.A.W Abdul Muttholib tiada daya untuk menentang. Beliau pergi menemui kepala tentera bergajah, meminta dipulangkan unta-unta yg dirampas.

Terkejut kepala tentera.

Sepatutnya Abdul Muttholib lebih risaukan kaabah yang bakal runtuh tetapi lebih mementingkan unta-untanya yang dirampas. Abdul Muttholib berkata,

"Unta-unta itu milik aku, sedangkan Kaabah itu adalah rumah Allah, tiada daya aku untuk pertahankannya dari kekuatan tentera kamu. Pasti Allah akan pertahankan rumah-Nya melalui tentera-tentera-Nya."


Islam itu agama Allah, kita pertahan dengan sedaya upaya kita, apa yg diluar jangkauan upaya kita, kita serahkan kepada Allah untuk pertahankannya.

Ingatlah ayat 7 dalam Surah Muhammad:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu. 


Dan ayat 54 Surah Ali-'Imran:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَكِرِينَ

Dan orang kafir itupun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan Allah sebijak-bijak yang membalas tipu daya.

InshaAllah, Allah bersama kita. 

Perbanyakkan membaca surah Al-Fiil:

Ayat 1

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ 
Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? 

Ayat 2

أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ 
Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang merugi dan memusnahkan mereka? 

Ayat 3

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ 
Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasuk. 

Ayat 4

تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ 
Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras. 

Ayat 5

فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ 
Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.


Tuesday, April 23, 2013

Mengapakah Allah Tidak Mendengar Doaku?




"Akhi, saya rasa Allah tidak sayang dan tidak pedulikan saya lagi..?" kata Syabab, juniorku sambil teresak-esak menangis.

Sambil merangkul bahunya aku bertanya, "Kenapa ni? Allah tidak pernah lupa kepada kita tetapi kita yang sering melupakanNya.. Cuba bagitahu ana apa yang buat enta rasa begitu?"

"Saya sering berdoa kepada Allah, tiap-tiap malam dalam qiam saya akh, tapi sampai sekarang Allah tidak mengabulkan doa saya. Saya tahu kemungkinan disebabkan dosa-dosa saya Allah tidak mengabulkan doa saya. Tapi saya sering solat taubat agar Allah ampunkan dosa yang saya lakukan supaya tidak menjadi hijab untuk doa saya sampai kepada Allah. Tapi kenapa Allah masih tidak mendengar saya?Kadang-kadang saya rasa putus asa dah kat Allah..."

Dia menghabiskan kata-katanya sambil menundukkan muka. Jelas di wajahnya satu perasaan yang sedih amat. Perasaan yang dulu pernah aku rasa dulu seolah-olah dicerminkan kepada aku kembali ketika itu. Aku beralih kedudukan untuk duduk berhadapan dengannya. Selepas menarik nafas yang agak panjang, aku mula menyusun kata.

"Adikku Syabab, masakan Allah tidak mendengar doamu itu sedangkan Allah Maha Mendengar. Mustahil bagi Allah untuk membiarkanmu begitu saja tanpa memberikanmu apa-apa padahal Dia Maha Pengasih dan Memberi. Dia sedang mengujimu tentang erti doa."

Dia seakan tertarik dengan ayat terakhir aku lantas bertanya,

"Apa maksud akhi tentang erti doa tu?"

Sambil tersenyum aku menjawab,

"Manusia apabila berdoa mengharapkan Allah mengabulkan terus doanya. Hari ini berdoa, esoknya ingin melihat hasilnya. Allah bukannya kuli kita untuk kita memaksa diberikan apa yang kita kehendaki pada waktu-waktu tertentu. Jangan salah sangka tentang erti doa."

Aku berhenti seketika unutk mengambil nafas dan menyambung,

"Insan, apabila ia berdoa kepada Rabbnya, Allah telah membahagikan doa tersebut kepada tiga keadaan.
Pertama, Allah mengabulkan doanya terus atau dalam masa terdekat. Inilah yang sering seseorang itu harapkan. Doa yang dipanjatkan dikabulkan terus dan saat itulah saat yang paling membahagiakan kerana merasakan Allah sayang kepadanya. Apabila dimohon untuk diturunkan rezeki, keesokannya datang beberapa orang untuk membayar hutang-hutangnya. Rezeki tanpa disangka-sangka datang kepadanya. Ketika itu, bertubi-tubi mulut mengucapkan syukur kepada Rabb yang mengabulkan doanya.

Keadaan kedua, Allah menangguhkan doa tersebut pada masa tertentu yang Allah kehendaki. Ini kerana Allah Maha Mengetahui ketika mana hambanya memerlukan kurniaanNya. Ya, kemungkinan hambanya itu inginkan saat itu juga, tetapi Allah yang Maha Mengetahui menangguhkan kerana Dia tahu sekiranya diberikan saat itu, hambaNya akan alpa dan lupa kepada Tuhannya. Bukankah itu tanda Allah sayang kepada kita?

Keadaan ketiga, Allah tidak mengabulkan permintaannya itu tetapi Allah menggantikan dengan perkara yang lebih baik dan lebih ia perlukan. Inilah yang sering manusia lupa dan tidak nampak. Allah lebih tahu apa yang kita perlukan. Kemungkinan apa yang kita minta langsung tidak sesuai dan kita tidak perlukan. Tetapi berkat doa kita yang tulus, Allah menggantikan dengan perkara yang lebih kita perlukan."

"Boleh akh huraikan lagi keadaan yang ketiga itu?Saya rasa seakan keadaan saya je.."

"Macam yang saya katakan tadi, Allah menggantikan dengan benda yang lebih kita perlukan. Sebagai contoh, kemungkinan enta tidak pernah berdoa untuk keselamatan diri. Tapi cuba enta ingat, berapa banyak Allah selamatkan enta dari bahaya dan malapetaka? Ingat lagi tak enta hampir kemalangan dan melanggar penghadang jalan di highway dulu disebabkan sahabat enta yang memandu ketika itu terlelap. Tapi Allah menyelamatkan enta berdua dengan tiba-tiba je enta terbangun dari tidur dan memutar stereng kereta menjauhi penghadang jalan. Sipi je kan ketika itu untuk kemalangan? Kalaulah Allah tidak bangunkan enta ketika itu bayangkan apa sudah terjadi?Kemungkinan enta dah tiada di dunia ini. Atau kemungkinan cedera di mana-mana. Satu lagi, kemungkinan berkat doa itu Allah simpan untuk enta di akhirat. Allah gantikan dengan meringanka azab di padang masyar. Allah permudahkan untuk enta meniti di titian sirat. Dan mungkin berkat doa yang tidak Allah makbulkan di dunia itu Allah menggantikan dengan Syurga untuk enta. Kerana Allah tahu pembebasan dari Neraka itulah yang lebih enta perlukan dari apa yang enta minta di dunia dulu."

Dia mula menangis menyalahkan dirinya yang tidak husnus thiqah billah. Aku teruskan lagi untuk lebih memahamkannya.

"Itulah yang kita tak nampak. Kita tak nampak berapa kali Allah selamatkan kita. Kita tak sedar berapa banyak rezeki Allah bagi kepada kita. Kita tak nampak yang sebenarnya keselamatan di akhirat itulah yang lebih penting dan lebih kita perlukan daripada apa yang kita minta di dunia. Apa yang kita nampak, kita salahkan Allah bila sesuatu doa itu tidak dimakbulkan. Walhal Allah telah menyusun yang terbaik untuk kita. Teruskanlah berdoa dan yakinlah Allah mendengar doa kita. Janganlah putus asa dengan Allah tatkala doa tidak dimakbulkan. Kita hambaNya dan Dia lebih mengetahui apa yang kita perlukan dalam hidup ini"

Syabab mengangguk beberapa kali tanda memahami kata-kataku. Syukur di hatiku melihat dia begitu. 

logo
www.standupgeneration.org

Thursday, March 28, 2013

Satu Iltizam



Menyelusuri jalan berduri,
Penuh liku menguji diri,
Namun jalan ini yang dipilih,
Harus ditempuhi,

Biar digugah ikatan,
Tak akan terlerai keimanan,
Apa saja dugaan tiada gentar,

Firman-Nya digenggam erat menjadi azimat,
Membakar semangat,
Melangkah dalam satu barisan,
Berbekal keazaman,
Mencipta kekuatan,

Gerak seiring mara ke hadapan,
Menyebar syiar penyuluh kehidupan,
Membangun insan berlandaskan pedoman,
Memampankan akal peradaban,

Teguh keyakinan pada Al-Quran,
Tugas teladani sunnah junjungan,
Menyirnakan gelita kejahilan,
Terpancarlah sinar keilmuan,

Kasih dan sayang disemarakkan,
Melakar citra keharmonian,
Teguh perpaduan,

Di mana jua bumi dipijak,
Di situ Langit dijunjung,
Bertunjangkan Islam,
Memartabatkan kesyumulan,

Setinggi mana gunung didaki,
Seluas mana lautan,
Yang dijelajahi,
Takkan ku resah kehampaan,

Hanya redha Ar-Rahman,
Yang didambakan,
Memayung perjalanan,
Ke arahNya,

Ukhuwwah kian sepadu,
Fitrah disatu,
Memancarkan keunggulan,
Khairal ummah,
Menzahirkan satu ILTIZAM,
SUCI...!!!