HTML Content

Thumbnails allows any HTML content

Customizable

Thumbnail style is customizable

Variety of Layouts

Just a CSS tweak.

Integration

Built-in functions for the thumbnails

Friday, May 17, 2013

Kagum, Aku Ada Hidung.


Dulu, negara pernah gempar dengan penemuan pelepah pinang yang seiras wajah manusia. Subhanallah...kagum.


Pernah berlaku peristiwa sejadah sujud di sebuah surau...masyaAllah...hebat.


Pernah tersebar gambar pokok-pokok seolah sedang rukuk menghadap kiblat...Allahuakbar...hebatnya kebesaran Allah.



Kejap...kejap...!!!

Saat kita bangun pagi, sedarkah bahawa hidung kita masih mampu hirup udara, paru-paru masih mampu memproses oksigen, jantung masih gagah berfungsi elok mengepam darah ke seluruh urat nadi, mengalirkan oksigen ke seluruh badan. Pernahkah ungkapan-ungkapan yang sama dilafaz?

Sangat jarang kata-kata syukur itu terucap. Tak salah kagum dengan benda dan perkara-perkara 'ajaib'. Kerana ia memang kebesaran Allah. Tapi sangat banyak lagi perkara dan kejadian di depan mata yang Allah jadikan yang sepatutnya kita luahkan rasa kagum itu, tetapi tidak pun kita ucap. Betul ke?

Untuk memecahkan sebongkah batu yang keras, memerlukan satu daya hentaman yang deras. Adakah kerana kerasnya hati, kita memerlukan satu benda atau perkara atau peristiwa luar biasa berlaku di depan mata yang menghentam jiwa dengan rasa kagum, barulah lafaz syukur itu akan terucap?

Hebatnya Allah mereka bentuk lubang hidung manusia. Diciptakan lubang hidung itu ke bawah, tidak ke atas. Subhanallah. Ia suatu rekabentuk kejuruteraan yang maha hebat dari sudut fungsi dan nilai estatiknya.

Andai lubang hidung dicipta menghadap ke atas, masyaAllah...boleh kita bayangkan betapa buruknya wajah itu? Para pereka fesyen mungkin terpaksa mereka sejenis payung hidung yang sesuai bagi mengelakkan air masuk ketika hujan. Mungkin ia jadi sasaran cicak-cicak melepas. "Ku fikir itu tandas...", kata cicak.

Pernah tak kita renung betapa hebat ciptaan Allah yang ada pada tubuh badan kita? Amat jarang bukan?

Kadang-kadang terfikir, diakhir zaman, pelbagai fitnah akan muncul. Fitnah yang paling besar ialah fitnah Dajjal. Risau kepada para pengkagum-pengkagum peristiwa pelik dan ajaib ini mudah terpedaya dan keliru antara kebesaran Allah, dan fitnah Dajjal.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda S.A.W telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.

Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”


Hebat bukan? Bagaimana? Sekali lihat...Subhanallah...Tapi, sebenarnya ia adalah fitnah Dajjal. Rasulullah S.A.W telah ajar bagaimana cara menghindari fitnah Dajjal. 

Sekadar mencuit kesedaran hati. Syukur pada Allah bukan hanya terlafaz saat kita melihat kejadian-kejadian pelik, benda-benda ajaib, perkara-perkara yang bukan kebiasaan berlaku saja. Tapi lafazkanlah rasa syukur itu sentiasa. 

Mustahil bagi manusia biasa untuk ingat Allah, ucap syukur 24 jam 7 hari. Tiada langsung waktu di mana kita lupa ingat Allah. Wahh...kagum. Wali Allah pun belum tentu mampu buat. Mustahil. Hebat sangatkah kita? Kita bukan malaikat. Tapi, paling tidak jadikanlah lafaz syukur dan mengingati Allah itu sebagai amalan dengan harapan, ia menjadi kebiasaan.

ألا بذكر الله تطمئن القلوب
'Tidakkah hanya dengan berzikir/mengingati Allah hati kita akan menjadi Tenang'

Ingat Allah juga terapi ketenangan hati.

Sentiasa ingat Allah.