HTML Content

Thumbnails allows any HTML content

Customizable

Thumbnail style is customizable

Variety of Layouts

Just a CSS tweak.

Integration

Built-in functions for the thumbnails

Monday, May 13, 2013

Harapan


Janji Adalah Harapan

5.30 pagi tadi aku terjaga. Hampir saja terlupa, pagi ni aku dah janji untuk jemput Yus di Putrajaya Sentral. Biasanya sekitar 5.30 pagi, bas dah masuk terminal. Mungkin sebab semalamnya terlewat masuk tidur, natijahnya, terjaga pun lambat. Sempat aku jeling handset di sebelah, tiada kelipan LED Notification maknanya Yus belum call. Tiada mesej yang masuk. Belum sampai kot. Awalnya dalam hati aku dah risau, semalam aku pesan pada Yus,

"Yus, bas masuk tol Kajang, boleh la call aku. Sempat aku prepare, mandi, warm-up kereta."

Tujuan aku supaya dapat timing masa, nanti, Yus tak perlu tunggu lama. Kesian. Barangnya banyak. Bawa bekal berniaga bagi menampung kos hidup di Shoubra. Sebab tu, aku fikir, bas selamat mendarat, aku terus sambut. Itu harapan yang telah aku berikan pada Yus. Syukur alhamdulillah, masih belum terlambat. Belum aku sia-siakan harapan Yus.

Aku bergegas bangun, turun mandi, terus solat subuh. Selesai solat, warm-up kereta, terus saja Yus call.

"Assalamualaikum akh, dah sampai. Maaf sangat sebab tadi terlelap sebelum masuk tol Kajang, sedar je dah sampai."

"Alhamdulillah. Orait, tunggu 10 minit aku sampai." ujar ku sekali lagi memberinya harapan padanya, sambil jari bergerak-gerak mencongak jarak dari rumah ke sana. Dalam hati terlintas, sempat ke 10 minit aku rushing sampai Putrajaya Sentral? Apa boleh buat, kata sudah terlepas ucap. Cuba sajalah. Mungkin itu yang risiko harus aku ambil bila memberi harapan tanpa berfikir panjang. Risiko mengguris hati sahabat andai janji itu dicapati.

Antara pro dan contra bila aku memberikan kata, "10 minit aku sampai."

Pro
Secara psychology, apabila aku memberikan limit waktu, Yus tidak ternanti-nanti. Sambil melihat jam, mengira waktu genap 10 minit, banyak perkara yang bisa Yus lakukan. Tidaklah sekadar tercegak menanti.

Contra
Namun, andai kata janji 10 minit itu gagal dipenuhi, memberi persepsi buruk tentang sikap aku sendiri. Sedikit menambah gelisah Yus menunggu. Situasi yang kurang selesa bagi sesetengah orang. Mungkin.

Alhamdulillah, keadaan di jalan tidak sesibuk yang disangka, kurang lebih 10 minit, sampai Putrajaya Sentral. Yus dah sedia menunggu. Dalam hati kesian, tapi, padan muka, siapa suruh tidur...haha

Apabila satu janji dimeterai, ia telah menjadi satu harapan. Besar atau kecil, ia tetap harapan. Setelah memberi janji, andai gagal dikota, harapan orang pasti kecewa. Ramai orang berjanji dalam keadaan fikirannya langsung tidak memikirkan keupayaannya untuk melaksanakan janji.

Harapan Masa

"Usin, jadi ke usrah esok? Pukul berapa?", WhatsApp notification naik. Mesej ringkas dari Azmi bertanya tentang liqa' usrah yang telah lama dirancang.

"Jadi laa. Konfem. Pukul 8.00 pagi, Masjid Telipot. Jangan lewat!!!", balas Usin.

"Set. Sebelum subuh aku sampai.", Ajak mencelah.

Sebelum subuh? Biar betul Ajak ni.

Memang konfem tak betul pun. Ungkapan sekadar gurauan kami adik beradik. Sinikalnya memang semua faham. Tapi, secara spontan, kata-katanya itu seolah dia telah memberi satu harapan bahawa, dia sangat bersemangat dan bersungguh untuk tepati waktu 8.00 pagi. Andai sebelum subuh dia datang, 8.00 pagi pastinya tiada masalah.

Seperkara lagi, bila disebut 8.00 pagi, tentatively, 8.00 pagi liqa' bermula. Bukan 8.00 pagi baru nak pakai tuala.

7.45 pagi, orang pertama tiba menunggang DAJ****. Terbaik. Liqa' bermula 8.00 pagi, tiba dalam 15 minit awal memang pencapaian yang agak cemerlang. Notification Whatsapp naik, mesej dari Udin memaklumkan dia sedikit lewat atas masalah teknikal.

7.59 pagi, 75% ahli usrah tiba, bakinya masih belum nampak muka. Termasuk Udin.

8.15 pagi, Udin tiba. Tinggal seorang lagi belum nampak muka. Agaknya mungkin dia sudah sampai sebelum subuh, dilihat masih belum ada sesiapa, sambung tidurlah.

"Mungkin dia duk di belakang tirai ruang solat muslimat kot." Udin menelah. Minat betul dia ni dengan muslimat. Nak tidur pun cari ruang muslimat.

Tapi bila diintai, tiada siapa pula. Mana dia? Jadi datang ke tak?

8.30 pagi, dalam keadaan tercungap-cungap, baru sampai dia. Mana janjinya sebelum subuh?

Dengan muka bermata kucingnya, permohonan maaf dipinta dengan pelbagai asbab musababnya. Sebelum subuh nak sampai katanya, 8.30 pagi baru nampak muka. Tanpa sebarang khabar berita, tanpa makluman awal darinya.

Mungkin nampak simple. Sekadar terlewat 30 minit. Tanpa khabar berita. Tapi ia cukup untuk membuat orang menilai diri kita. Andai masa sukar diurus sempurna, lalu janji dan harapan itu diberikan pula...

Paling tidak, khabarkan lebih awal. Kerana penantian dalam ketidaktentuan harapan itu menyeksakan.

Mungkin akibat ketakcanaan kita merendahkan mood dan moral sahabat lain yang sedia bersemangat berkongsi ilmu liqa' usrah.


Allah SWT berfirman: "(Bukan demikian), sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa." 

(Ali 'Imran : 76)

Menanti Dalam Ketidaktentuan Harapan

Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal dalam salah satu kuliah beliau, lebih kurang bunyinya,

"Dalam keadaan sekeliling dilanda banjir besar, kita terperangkap di atas bumbung rumah. Air kian naik. Tiada langsung jalan keluar. Nasib, telefon di tangan masih boleh digunakan. Lalu kita panggil untuk bantuan. Alhamdulillah, pasukan penyelamat berada di sekitar, kata mereka, lagi 30 minit kami sampai. Tunggu sehingga kami sampai. Syukur. Dalam masa 30 minit, kita akan selamat. Harapan telah diberi oleh pihak keselamatan. Satu kelegaan besar. Meskipun air makin meninggi, sampai ke pinggang sekalipun, kita pasti akan tunggu 30 minit.

Cuba bayangkan, saat kita buat panggilan, tiba-tiba...tup...tup...tup...talian terputus. Lagi sekali panggilan dibuat, tiba-tiba, bateri telefon pula habis. Boleh anda bayangkan bagaimana perasaan disaat itu? Menanti dalam ketidaktentuan. Harapan itu masih ada. Tapi tidak tahu bila. Mungkin datang, mungkin tidak. Jiwa tertekan, hati gelisah, resah, keluh kesah. Dalam desakan tekanan, belum sampai 15 minit, mungkin hadir rasa putus asa, melihat air sudah cecah buku lali, harapan makin sempit, lalu putus, mungkin menyebabkan kita terjun dalam air banjir, berusaha menyelamatkan diri, belum sempat pasukan penyelamat datang. Akhirnya, dihanyut arus."


Pentingnya Garis Masa Dalam Memberi Harap

Ibrah dari kisah Nabi Yusuf ('Alaihissalam) sudah cukup menggambarkan betapa deritanya menunggu dan mengharap sesuatu yang kita tidak pasti dan tahu bila ia akan berlaku. Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti, merupakan satu bentuk penderaan spiritual. Tatkala dikurung di penjara (terma dikurung mungkin lebih sesuai dalam konteks Nabi Yusuf kerana baginda bukanlah pesalah yang harus dipenjara, tetapi dikurung semata menutup aib pemerintah zalim.), tiada langsung perkhabaran bilakah baginda akan dibebaskan, adakah baginda akan dibebaskan? Atau terus meringkuk dalam kurungan sepanjang hayat? Tiada pertuduhan, tiada perbicaraan. Namun harapan untuk bebas tetap masih ada. Tapi bila? Entah...

Spiritual Nabi Yusuf didera oleh ketidaktentuan harapan itu. Namun, dengan meletak pengharapan dan thiqah pada qada' dan qadar Allah S.W.T menjadi terapi kepada kegelisahan jiwa baginda.

Andai manusia lain ditempat baginda, mungkin ada yang sanggup membunuh diri sebagai solusi mudah bagi menamatkan penderaan spiritual itu.

Pastinya ia jauh lebih derita berbanding banduan lain yang mungkin dipenjara 10 tahun, 20 tahun, mungkin 50 tahun.

...bersambung...