"Akhi, saya rasa Allah tidak sayang dan tidak pedulikan saya lagi..?" kata Syabab, juniorku sambil teresak-esak menangis.
Sambil merangkul bahunya aku bertanya, "Kenapa ni? Allah tidak pernah lupa kepada kita tetapi kita yang sering melupakanNya.. Cuba bagitahu ana apa yang buat enta rasa begitu?"
"Saya sering berdoa kepada Allah, tiap-tiap malam dalam qiam saya akh, tapi sampai sekarang Allah tidak mengabulkan doa saya. Saya tahu kemungkinan disebabkan dosa-dosa saya Allah tidak mengabulkan doa saya. Tapi saya sering solat taubat agar Allah ampunkan dosa yang saya lakukan supaya tidak menjadi hijab untuk doa saya sampai kepada Allah. Tapi kenapa Allah masih tidak mendengar saya?Kadang-kadang saya rasa putus asa dah kat Allah..."
Dia menghabiskan kata-katanya sambil menundukkan muka. Jelas di wajahnya satu perasaan yang sedih amat. Perasaan yang dulu pernah aku rasa dulu seolah-olah dicerminkan kepada aku kembali ketika itu. Aku beralih kedudukan untuk duduk berhadapan dengannya. Selepas menarik nafas yang agak panjang, aku mula menyusun kata.
"Adikku Syabab, masakan Allah tidak mendengar doamu itu sedangkan Allah Maha Mendengar. Mustahil bagi Allah untuk membiarkanmu begitu saja tanpa memberikanmu apa-apa padahal Dia Maha Pengasih dan Memberi. Dia sedang mengujimu tentang erti doa."
Dia seakan tertarik dengan ayat terakhir aku lantas bertanya,
"Apa maksud akhi tentang erti doa tu?"
Sambil tersenyum aku menjawab,
"Manusia apabila berdoa mengharapkan Allah mengabulkan terus doanya. Hari ini berdoa, esoknya ingin melihat hasilnya. Allah bukannya kuli kita untuk kita memaksa diberikan apa yang kita kehendaki pada waktu-waktu tertentu. Jangan salah sangka tentang erti doa."
Aku berhenti seketika unutk mengambil nafas dan menyambung,
"Insan, apabila ia berdoa kepada Rabbnya, Allah telah membahagikan doa tersebut kepada tiga keadaan.
Pertama, Allah mengabulkan doanya terus atau dalam masa terdekat. Inilah yang sering seseorang itu harapkan. Doa yang dipanjatkan dikabulkan terus dan saat itulah saat yang paling membahagiakan kerana merasakan Allah sayang kepadanya. Apabila dimohon untuk diturunkan rezeki, keesokannya datang beberapa orang untuk membayar hutang-hutangnya. Rezeki tanpa disangka-sangka datang kepadanya. Ketika itu, bertubi-tubi mulut mengucapkan syukur kepada Rabb yang mengabulkan doanya.
Keadaan kedua, Allah menangguhkan doa tersebut pada masa tertentu yang Allah kehendaki. Ini kerana Allah Maha Mengetahui ketika mana hambanya memerlukan kurniaanNya. Ya, kemungkinan hambanya itu inginkan saat itu juga, tetapi Allah yang Maha Mengetahui menangguhkan kerana Dia tahu sekiranya diberikan saat itu, hambaNya akan alpa dan lupa kepada Tuhannya. Bukankah itu tanda Allah sayang kepada kita?
Keadaan ketiga, Allah tidak mengabulkan permintaannya itu tetapi Allah menggantikan dengan perkara yang lebih baik dan lebih ia perlukan. Inilah yang sering manusia lupa dan tidak nampak. Allah lebih tahu apa yang kita perlukan. Kemungkinan apa yang kita minta langsung tidak sesuai dan kita tidak perlukan. Tetapi berkat doa kita yang tulus, Allah menggantikan dengan perkara yang lebih kita perlukan."
"Boleh akh huraikan lagi keadaan yang ketiga itu?Saya rasa seakan keadaan saya je.."
"Macam yang saya katakan tadi, Allah menggantikan dengan benda yang lebih kita perlukan. Sebagai contoh, kemungkinan enta tidak pernah berdoa untuk keselamatan diri. Tapi cuba enta ingat, berapa banyak Allah selamatkan enta dari bahaya dan malapetaka? Ingat lagi tak enta hampir kemalangan dan melanggar penghadang jalan di highway dulu disebabkan sahabat enta yang memandu ketika itu terlelap. Tapi Allah menyelamatkan enta berdua dengan tiba-tiba je enta terbangun dari tidur dan memutar stereng kereta menjauhi penghadang jalan. Sipi je kan ketika itu untuk kemalangan? Kalaulah Allah tidak bangunkan enta ketika itu bayangkan apa sudah terjadi?Kemungkinan enta dah tiada di dunia ini. Atau kemungkinan cedera di mana-mana. Satu lagi, kemungkinan berkat doa itu Allah simpan untuk enta di akhirat. Allah gantikan dengan meringanka azab di padang masyar. Allah permudahkan untuk enta meniti di titian sirat. Dan mungkin berkat doa yang tidak Allah makbulkan di dunia itu Allah menggantikan dengan Syurga untuk enta. Kerana Allah tahu pembebasan dari Neraka itulah yang lebih enta perlukan dari apa yang enta minta di dunia dulu."
Dia mula menangis menyalahkan dirinya yang tidak husnus thiqah billah. Aku teruskan lagi untuk lebih memahamkannya.
"Itulah yang kita tak nampak. Kita tak nampak berapa kali Allah selamatkan kita. Kita tak sedar berapa banyak rezeki Allah bagi kepada kita. Kita tak nampak yang sebenarnya keselamatan di akhirat itulah yang lebih penting dan lebih kita perlukan daripada apa yang kita minta di dunia. Apa yang kita nampak, kita salahkan Allah bila sesuatu doa itu tidak dimakbulkan. Walhal Allah telah menyusun yang terbaik untuk kita. Teruskanlah berdoa dan yakinlah Allah mendengar doa kita. Janganlah putus asa dengan Allah tatkala doa tidak dimakbulkan. Kita hambaNya dan Dia lebih mengetahui apa yang kita perlukan dalam hidup ini"
Syabab mengangguk beberapa kali tanda memahami kata-kataku. Syukur di hatiku melihat dia begitu.
www.standupgeneration.org
www.standupgeneration.org